Sabtu, 16 Mac 2019

Cabaran & Penyelesaian Dalam Kembara Soloku



Setiap perjalanan ada cabaran yang tersendiri. Begitu juga kembara soloku bersama ‘teman setiaku’, sebuah motosikal kapcai jenama Honda. Walaupun begitu ia bukan satu halangan bagiku dalam meneruskan pengembaraan ini. Kerana ia menjadi salah satu daripada impianku semenjak kecil lagi. Hanya atas sebab tertentu, Impian ini hanya dapat dilaksanakan selepas usia mencecah ‘3 siri’.

Berikut adalah cabaran yang pernah saya hadapi sepanjang pengembaraan ini (bermula May 2016) semasa menunggang motosikal secara solo.


Cabaran 1: Cuaca

Bagi penunggang motosikal, cuaca membawa kesan yang amat besar keatas setiap perjalanan yang dilalui. Terdapat tiga keadaan yang sering dihadapi oleh saya sepanjang masa iaitu:

1.      Cuaca Panas
2.      Cuaca Hujan
3.      Cuaca Gelap (Waktu Malam)

Ketika Cuaca Panas

Cabaran sebenar bermula ketika saya menunggang motosikal pada waktu petang terutama di lebuhraya. Dengan keadaan cuaca yang panas terik ditambah dengan tiupan angin yang agak nyaman menyebabkan saya mudah terlelap (tertidur) ketika menunggang. Dengan ertikata lain, ia waktu terbaik untuk tidur (walaupun cuaca panas). Keadaan ini amat membahayakan penunggang motosikal seperti saya. Boleh kemalangan kalau tak berhati-hati (cuai) sama ada langgar kenderaan lain atau terbabas.

Berita baiknya, saya tidak pernah terlibat dalam kemalangan walaupun sering tertidur atas motosikal. Hanya ia menjadi cabaran yang besar bagi saya ketika menempuhi perjalanan yang jauh.

Bagaimana saya perasan akan pekara ini (sekiranya tertidur)? Apabila kelajuan motosikal secara tiba-tiba berkurangan secara drastik atas sebab saya terlepas memulas minyak. Kebiasaannya dilebuhraya atau jalan utama, saya akan menunggang dengan kelajuan yang maksimum sekiranya tiada halangan seperti kesesakan lalulintas dan sebagainya.

Penyelesaiannya?

Mula-mula dahulu saya mengambil keputusan untuk melelapkan mata sekejap atas motosikal selepas berhenti di kawasan rehat. Tetapi kaedah ini tidak berkesan atas sebab keselamatan serta ketidakupayaan untuk lelap sekejap atas motosikal. Jadi apa patut saya lakukan? Terdapat beberapa pilihan yang boleh diambil berdasarkan situasi.

Pilihan Pertama: Keluar Dari Lebuhraya

Ia pilihan yang baik kerana ia membantu menyegarkan mata ketika melalui jalan biasa. Tetapi kalau dah mengantuk sangat, ikut jalan mana pun tetap tertidur juga.

Pilihan Kedua: Rehat Sekejap Di R&R @ Perhentian

Ini bermaksud saya berhenti sekejap di R&R berdekatan untuk melakukan urusan lain seperti pergi ke tandas, menunaikan solat, duduk di meja sambil layan telefon pintar sambil menjamu selera dan sebagainya selain daripada menunggang motosikal. Adakah cara ini berkesan? Terpulang kepada tahap kemengantukan diri. Kadang-kadang kaedah ini tak berkesan juga bahkan buat diri makin mengantuk terutama selepas menjamu selera.

Pilihan Ketiga: Teruskan Perjalanan

Pilihan terakhir dan yang sering diambil. Teruskan perjalanan sambil bertahan sehingga sampai ke destinasi yang dituju. Ia memerlukan tumpuan yang tinggi untuk melawan perasaan tersebut. Sesungguhnya melawat naluri ini suatu yang mencabar. Waktu yang paling mencabar biasanya pada sebelah petang terutamanya pada pukul 2.00 petang sehingga pukul 6.00 petang.

Cabaran lain yang timbul selain dari mengantuk adalah terpaksa menghadapi cuaca yang amat panas. Ia melemahkan tubuh dan mental. Walaupun begitu, ganjarannya amat berbaloi saat anda menjejak kaki di destinasi yang dituju.

Jangan lupa banyakkan minum air serta pastikan tidur mencukupi. Walaupun Secara realitynya saya tidak pernah cukup tidur sepanjang pengembaraan ini. Sesungguhnya masa yang ada amatlah terhad tetapi tempat yang ingin dituju amat banyak.

Ketika Cuaca Hujan

Cabaran ketika cuaca hujan amat berbeza berbanding semasa cuaca panas. Ketika hujan, saya terpaksa tempuhi hujan lebat serta pemandangan yang amat terhad. Ia bukan sahaja menyakitkan badan (akibat dibasahi air hujan sepanjang perjalanan) bahkan terpaksa menghadapi suhu yang rendah (Basah kuyup walaupun pakai baju hujan). Diburukkan lagi keadaan apabila jarak pandangan menjadi lebih pendek dan tidak jelas teruatama pada waktu malam.

Penyelesaiannya?

Terdapat dua pilihan yang ada semasa menghadapi keadaan berikut iaitu:

Pilihan Pertama: Berteduh Sambil Tunggu Hujan Reda

Ia pilihan yang terbaik yang paling biasa diambil oleh penunggang motosikal seperti saya. Hanya bagi saya ia hanya sesuai sekiranya hujan turun lebat (cepat berhenti). Sekiranya hujan turun renyai, ia tidak sesuai atas sebab ia membazir banyak masa untuk sementara menunggu hujan berhenti. Mahu tak mahu terpaksa redah sahajalah. Kerana masa amat mencemburui.

Pilihan Kedua: Redah Sahaja

Ia pilihan yang biasa saya ambil semasa dalam perjalanan. Kerana waktu yang saya ada amatlah terhad. Apa yang perlu dilakukan hanya bergerak dengan penuh berhati-hati dan sentiasa tumpukan perhatian sepanjang perjalanan. Ini juga pilihan yang saya ambil ketika mengembara di Perlis suatu masa dahulu. Oleh sebab hujan turun sepanjang hari. Saya tidak berpeluang untuk melawat lokasi menarik di Perlis walaupun satu.

Ketika Cuaca Gelap

Dalam banyak keadaan, cuaca gelap bukan satu penghalang kerana kebanyakkan jalan raya disediakan lampu (terutama di simpang atau jalan bandar). Hanya sebahagian kecil jalan sahaja yang mencabar seperti jalan dari Raub (Pahang) menuju ke Kuala Kubu Baharu (Selangor) melalui Bukit Fraser dan laluan turun dari Cameron Highland (Pahang) ke Tapah (Perak).

Kenapa jalan ini mencabar berbanding jalan lain? Kerana ia ditutupi oleh hutan belantara pada kedua-dua belah jalan serta terdapat banyak selekoh yang perlu ditempuhi sepanjang perjalanan. Ini menyebabkan jalan tersebut cepat gelap berbanding dengan jalan lain. Diburukkan lagi keadaan apabila saya tidak dapat memecut sepanjang waktu (banyak selekoh maut).

Penyelesaiannya?

Berikan tumpuan sepanjang perjalanan sambil bertawakal. Berharapa tiada pekara buruk berlaku seperti motosikal mengalami kerosakan, sesuatu melintas di hadapan, terlanggar lubang dan sebagainya. Itu sahaja yang boleh dilakukan.

Cabaran 2: Permukaan Jalan Raya

Terpaksa menempuhi jalan yang rosak (berpasir, berlubang, tidak rata dan sebagainya) adalah suatu pengalaman yang tidak menyeronokkan bagi penunggang motosikal (kecuali menunggang motosikal lasak). Ia membahayakan keselamatan terutama semasa menunggang dalam kelajuan tinggi. Kebanyakkan kemalangan yang saya hadapi (tergelincir @ terbabas) berpunca dari permukaan jalan raya yang tidak rata (bonjol @ berpasir).

Antara pengalaman pahit yang pernah saya tempuhi adalah semasa ingin ke Taman Alam Kinta di Perak pada kali pertama. Walaupun jarak perjalanan amatlah pendek (lebih kurang 2 km) tetapi ia mengambil masa lebih setengah jam hany untuk sampai ke situ (perlu tempuhi jalan yang tidak rata serta dipenuhi dengan lubang yang bertakung). Memburukkan lagi keadaan apabila tiada laluan lain yang boleh diikuti (Pergi dan balik ikut laluan yang sama). Paling risau motosikal rosak sahaja.

Penyelesaiannya?

Sentiasa berhati-hati semasa menunggang. Pastikan diri dalam keadaan bersiap siaga sepanjang masa dalam menghadapi situasi yang tidak dijangka. Pastikan diri mendapat perlindungan secukupnya seperti memakai kasut, sarung tangan, baju yang dilengkapi dengan pad keselamatan, pakai seluar yang tebal (jean) dan sebagainya. Kenapa ia penting? Sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan ke atas tubuh sekiranya berlaku kemalangan. Sesungguhnya kemalang tidak berbau.

Ingin dapatkan panduan keselamatan yang saya amalkan sepanjang kembara solo ini? Sila tekan pautan dibawah untuk mengetahuinya.


Cabaran 3: Kerosakan Jentera (Motosikal)

Masalah yang paling menakutkan dan tidak ingin dihadapi oleh penunggang seperti saya apabila motosikal yang dinaiki mengalami kerosakkan dan tersadai di tepi jalan. Sekadar tayar bocor (bagi tayar tanpa tiub), boleh gagah mengheretnya menempuhi jarak yang jauh. Adalah amat sukar untuk memastikan motosikal tersebut berada dalam keadaan baik sepanjang masa. Apa yang mampu dilakukan hanyalah dengan menyelenggara sebaik mungkin sebelum memulakan perjalanan.

Apakah kerosakkan yang sering dihadapi oleh semasa dalam perjalanan?

Kerosakan 1: Tayar Pancit

Kerosakan paling kerap berlaku yang biasa dihadapi ialah berlakunya kebocoran pada tayar atas sebab tercucuk oleh paku atau besi lain semasa berada atas jalan raya. Melanggar kaca atau batu masih tidak kisah lagi. Paling takut langgar besi.

Berikut adalah pengalaman yang saya hadapi dari tahun 2016 berkaitan kebocoran tayar (pancit).

Pengalaman 1: Dari Kuala Terengganu Ke Kuantan

Kebocoran dikesan sewaktu keluar dari Kuala Terengganu. Ini menyebabkan saya terpaksa heret motosikal sampai ke Dungun (dengan kelajuan 20-40 km sejam) semata-mata ingin mencari bengkel motosikal. Pada masa itu saya beranggapan lagi ia lebih mudah cari bengkel di bandar besar. Hakikatnya ia sukar terutama pada waktu malam. Nasib menyebelahi saya apabila saya menegur orang yang kenal mekanik motor semasa bertanya  bagaimana nak isi angin bila tayar kempis. Dengan baik hatinya abang yang saya tegur membantu saya mencari mekanik untuk membaiki kebocoran di tayar. Walaupun menghabiskan masa dalam sejam juga nak selesai masalah tersebut.

Pengalaman 2: Dari Simpang Pulai Ke Gombak

Kebocoran dikesan sebelum tiba di R&R Tapak. Pada masa itu saya telah pun membeli 1 botol cecair penampal tayar. Tidak tahu mana silapnya, ia tidak berkesan walaupun telah menghabiskan satu botol. Keadaan menjadi lebih teruk apabila bukan tayar depan turut bocor di hiris oleh benda tajam. Ini memaksa saya menunggang motosikal walaupun kedua-dua tayar tengah pancit sejauh kira-kira 100 km untuk pulang ke Gombak. Nasib baik ia berlaku di lebuhraya. Kira agak stabil juga motosikal yang ditunggang walaupun dalam kelajuan yang perlahan. Diburukkan lagi keadaan, cuaca pada masa itu tengah hujan (renyai) serta pada ketika itu saya sedang memakai beg yang besar.

Pengalaman 3: Dari Stadium Bukit Jalil Ke Kota Damansara

Kebocoran dikesan semasa dalam perjalanan menuju ke Bukit Jalil. Nasib baik pada masa itu tinggal 1 km lagi nak sampai Bukit Jalil. Digagahkan jua tunggang ia sampai ke Bukit Jalil atas sebab ada larian yang disertai pada malam itu. Tidak seperti kebocoran biasa, kebocoran kali ini lebih teruk disebabkan ruang antara tayar dengan rim telah terlari. Dengan erti kata lain tayar tidak dapat dibaiki dan perlu tukar baru.

Saya baru perasan akan masalah ini sewaktu ingin membaikinya menggunakan cecair penampal selepas pulang dari larian. Cabaran kali ini amat dasyat apabila terpaksa menempuhi 4 jalan yang berbeza permukaannya. Sehingga terpaksa berhenti beberapa kali semata-mata untuk membetulkan kedudukan tayar.

Penyelesaiannya?

Pastikan motosikal anda dilengkapi oleh alat untuk menampal kebocoran sepanjang masa. Pastikan tayar yang digunakan adalah jenis tayar tanpa tiub (tiubless). Ia penting kerana tayar bertiup tidak mampu bergerak langsung semasa pancit. Elakkan bergerak pada waktu malam terutama melalui jalan yang sunyi sepi. Pastikan anda tahu kedudukan bengkel motosikal yang terdekat sepanjang laluan yang ditempuhi. Yang lain hanya boleh bertawakal sahajalah.

Kerosakan 2: Rantai Putus

Kerosakkan paling menakutkan yang ingin dielakkan adalah kerosakkan yang menyebabkan motosikal tersebut tidak dapat dihidupkan atau bergerak. Salah satunya adalah apabila rantai putus. Pekara ini terjadi kepada saya semasa dalam perjalanan menuju ke Wang Kerian di Perlis. Pada waktu itu hujan turun dengan renyai. Untuk sampai ke Wang Kerian, saya perlu melalui laluan berbukit sejauh 5 km. Kejadian itu berlaku semasa sedang turun. Ketika menuruni bukit, saya membiarkan gear berada dalam keadaan bebas. Hentakan yang berlaku semasa pertukaran dari gear bebas ke gear satu menyebabkan tali rantai terputus.

Penyelesaiannya?

Tiada apa yang boleh dibuat selain minta tolong orang kampung untuk cari dimana bengkel yang berdekatan. Sambil itu meminta tolong tolakkan sekali motosikal saya ke bengkel dengan menggunakan motosikal lain.

Tips Tambahan
Sekiranya anda terdengar bunyi bising pada rantai motosikal walaupun setelah ketatkan rantai, tukarkannya secepat mungkin bagi mengelakkan masalah ini berlaku. Pengajaran diterima.

Kerosakan 3: Kerosakan Pada Rangka Motosikal

Kerosakkan ini biasa terjadi apabila anda terlibat dalam kemalangan sama ada terbabas atau berlanggar dengan kenderaan lain. Ia bergantung kepada tahap kemalangan yang dihadapi.

Penyelesaiannya?

Bersediakan keluarkan duit yang banyak untuk membaikinya serta menggantikan apa yang terkorban bersamanya. Korban terbesar yang saya alami selepas kemalangan adalah telefon pintar rosak. Cara terbaik adalah dengan mengelak diri dari terbabit dalam kemalangan. Menungganglah dengan selamat dan berhati-hati. Biar lambat asalkan selamat.

Diharap agar berkongsian ini dapat menjadi satu pengajaran bagi anda terutamanya penunggang motosikal. Sesungguhnya harga yang perlu dibayar atas kecuaian diri sendiri sehingga amatlah mahal sehingga mengancam nyawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan