Sabtu, 7 Ogos 2021

5 Peraturan Asas Insurans @ Takaful

5 Peraturan Asas Insurans @ Takaful 

Insurans merupakan pelindung terakhir dalam mempertahankan kewangan kita. Membantu menyelesaikan masalah dari segi kewangan terutama bagi waris yang bergantung hidup kepada kita semasa kita masih hidup.
 
"Insurans Adalah Alat Kewangan Paling Disalaherti"
 
Sebelum ini, kita perlu terlebih dahulu mengkaji asas-asas insurans untuk memahami produk ini. Dengan cara ini, kita akan dapat menjimatkan belanja dan dalam masa yang sama mendapat perlindungan insurans yang efektif serta efisien.
 
 
1. Anggap Insurans Sebagai Alat Kewangan
 
Insurans ialah alat kewangan yang boleh digunakan untuk memindahkan risiko dalam hidup kita. Kita kerugian sejumlah wang kecil (bayar premium) untuk menghindari kerugian lebih besar.
 
Dengan membayar sejumlah premium, kita memindahkan risiko kepada syarikat insurans dan kini boleh hidup tanpa dihantui kebimbangan.
 
 
2. Insurankan Perkara Yang Penting Sahaja
 
Insurans paling baik digunakan untuk melindungi kecelakaan yang teruk tapi jarang berlaku.
 
Dengan kata lain, kita sepatutnya menggunakan insurans untuk melindungi diri dari kecelakaan yang membawa padah dan melibatkan kehilangan beribu-ribu atau berjuta-juta ringgit dan khususnya yang boleh membuat kita papa kedana. Ini termasuklah rumah, harta benda seperti kereta dan juga keupayaan kita untuk mencari nafkah.
 
 
3. Jangan Ambil Kira Perbelanjaan Yang Kecil-Kecilan
 
Hidup ini penuh dengan dugaan dan risiko, maka tidak hairanlah terdapat pelbagai jenis insurans untuk melindungi pelbagai risiko dari sebesar-besar sehingga sekecil-kecil pekara. Walaupun begitu, bukan semua risiko perlu diinsurans terutama yang tidak melibatkan jumlah wang yang banyak. Seperti membayar waranti lanjutan komputer atau belanja harian hospital.
 
Usaha, masa dan belanja yang dikeluarkan untuk menuntut wang insurans tersebut sering kali lebih tinggi berbanding jumlah tuntutan sebenar. Dari segi mental dan kewangan, adalah lebih baik anda membayar sendiri kemalangan kecil ini dengan menggunakan wang simpanan atau daripada dana rizab.
 
 
4. Bukan Produk Untuk Membuat Wang
 
Anda perlu memahami bahawa insurans bukan produk untuk buat wang. Insurans adalah perlindungan terhadap bencana yang melibatkan kehilangan wang ringgit. Itu sahaja. Jangan jadikan ia seperti simpanan paksa.
 
Lagipun, pulangan dari insurans tidaklah seberapa. Itu sebabnya kenapa setiap polisi terutama polisi endowmen hanya menunjukkan jumlah ringgit dan bukan peratusannya. Tiada siapa yang mahu membeli polisi sekiranya mereka tahu tentang pulangan yang tidak seberapa.
 
 
5. Jangan Terlebih Bayar Untuk Insurans
 
Setelah mengetahui kebaikan insurans, seseorang boleh hilang punca kerana tidak tahu yang mana satu hendak dipilih. Setelah mendapatkan suatu perlindungan, pengambil insurans kini berasa kurang yakin dan terus menambah polisi untuk mendapatkan perlindungan lebih. Malangnya, lebih banyak polisi diambil, lebih tinggi caruman perlu dibayar.
 
Oleh itu, ambil polisi insurans ada hadnya. Walaupun pembolehubah tidak sama bagi semua orang, namun boleh dikatakan anda terlebih bayar apabila membayar wang untuk premium insurans melebihi dari simpanan bulanan anda. Misalnya, 20 peratus dari gaji bersih anda adalah jumlah yang terlalu banyak untuk dibayar kepada syarikat insurans.
 
Sumber Rujukan: Jutawan Dari Planet Jupiter - Azizi Ali
 
 
Yang menulis,
 
Mohd Faiz bin Abdul Manan
Ejen Etiqa Family Takaful


2 ulasan: