Selasa, 4 Julai 2023

Memilih Produk Takaful Terbaik

Memilih Produk Takaful Terbaik
Sumber: https://www.majalahlabur.com/

Entri kali ini saya kongsikan kaedah memilih produk takaful terbaik berdasarkan keperluan serta kemampuan. Panduan yang dikongsi ini terhad kepada takaful hayat sahaja serta tidak melibatkan pengendali takaful (panduan secara umum sahaja).
 
Terpulang kepada anda untuk membuat pilihan menyertai pengendali takaful yang ada. Yang penting adalah produk takaful itu sendiri. Produk yang dapat memenuhi keperluan anda mengikut panduan yang diberi.
 
 
1. Jenis Perlindungan Utama
 
Tujuan utama melanggani produk takaful adalah bagi tujuan perlindungan. Perlindungan bermaksud pihak pengendali takaful memberi sejumlah wang sebagai pampasan (hasil bantuan peserta lain) kepada diri atau waris sekiranya kecelakaan berlaku pada pemegang polisi takaful. Ia sebagai pengganti pendapatan yang sedia ada yang hilang selepas ditimpa kecelakaan.
 
Terdapat pelbagai jenis perlindungan yang ada untuk dipilih. Pilih ikut keutamaan seperti dibawah.
 
Perlindungan Asas (Utama)
1# Kematian (Kemalangan @ Sakit)
2# Cacat Kekal (HUMK)
 
Perlindungan Tambahan (Utama)
3# Kad Perubatan (Medical Card)
4# Penyakit Kritikal
 
Perlindungan Tambahan (Sampingan)
5# Pengecualian Sumbangan bagi Penyakit Kritikal
6# Kematian dan Hilang Upaya Akibat Kemalangan (HUMK)(Tambahan)
7# Indemniti Kemalangan
8# Tunai Hospital
9# Bertempoh
 
Utamakan perlindungan asas. Kemudian perlindungan tambahan (utama sebelum sampingan) sekiranya terasa memerlukan dan ada peruntukan yang lebih.
 
Entri Berkaitan:
Takaful Rider @ Etiqa
 
 
2. Kategori Produk Takaful
 
Secara umumnya terdapat tiga kategori produk takaful dipasaran yang boleh dipilih. Keutamaan pada perlindungan diikuti simpanan serta pelaburan (sekiranya perlu).
 
1# Perlindungan
Polisi takaful yang memberi tumpuan kepada perlindungan sahaja. Polisi ini biasanya memberi pampasan yang tinggi dengan harga yang rendah (caruman bulanan).
 
2# Perlindungan & Simpanan
Polisi takaful ini memberi keseimbangan antara perlindungan dan simpanan. Simpanan yang berinsuran. Jumlah perlindungan yang diberi biasanya lebih rendah dari takaful yang hanya ada perlindungan sahaja.
 
Walaupun begitu, kelebihannya adalah waris atau diri akan menerima pampasan serta simpanan yang ada. Manakala pemegang sijil hanya menerima jumlah simpanan sahaja sekiranya masih hidup dan sihat ketika polisi tamat.
 
3# Perlindungan & Pelaburan
Polisi takaful ini memberi tumpuan pada pelaburan lebih dari perlindungan. Melabur sambil dilindungi insuran. Kelebihan polisi ini adalah terletak pada jumlah perlindungan dan simpanan yang tinggi.
 
Walaupun begitu, caruman yang perlu dibayar adalah tinggi dan penambahan caruman perlu dilakukan sekiranya unit yang ada berkurangan dan tidak mampu memastikan polisi kekal aktif.
 
Entri Berkaitan:
Senarai Lengkap Artikel Berkaitan Insurans & Takaful
 
 
3. Lain-Lain Pekara Penting
 
Lain-lain pekara yang perlu dipertimbangkan ketika ingin melanggani takaful. Pekara ini akan membawa kesan secara langsung ketika memilih produk takaful.
 
1# Tempoh Perlindungan
Lagi pendek tempoh perlindungan, lagi rendah jumlah carumannya atau jumlah perlindungan lebih tinggi. Begitu sebaliknya.
 
2# Caruman Bulanan
Jumlah caruman yang sesuai tidak melebihi 10 peratusan dari jumlah gaji kasar semasa. Paling kurang 5 peratus. Idea sekitar 7 peratus.
 
3# Status Kesihatan
Status kesihatan akan mempengaruhi keputusan pengendali takaful sama ada untuk terima atau tidak setiap permohonan yang diterima. Pemohon yang ada masalah kesihatan biasanya akan ditolak. Sekiranya diterima sekali pun perlu membayar caruman lebih sedikit dari sepatutnya.
 
4# Jenis Pekerjaan
Jenis pekerjaan juga mempengaruhi keputusan pengendali takaful sama ada untuk terima atau tidak setiap permohonan yang diterima. Permohonan biasanya akan ditolak sekiranya bekerja dalam sektor yang berbahaya. Kebarangkalian terlibat dalam kemalangan adalah tinggi.
 
5# Merokok @ Tidak
Status merokok atau tidak pun diambil kira dalam mengenalpasti kebarangkalian bakal pelanggan menghidap penyakit di masa hadapan dalam tempoh terdekat.
 
6# Diri Sendiri @ Orang Lain
Bagi pelanggan yang mengambil takaful bagi pihak orang lain seperti anak. Umur pembayar (ibubapa) dan umur penerima manfaat (suami, isteri atau anak) akan mempengaruhi jumlah perlindungan yang diperolehi.
 
Digalakkan untuk mengambil perlindungan tambahan seperti pengecualian bayaran balik atas kematian, kecacatan atau penyakit kritikal bagi memastikan polisi takaful penerima manfaat kekal aktif walaupun pembayar ditimpa kecelakaan.
 
 
Banyak pekara perlu dipertimbangkan sebelum melanggani takaful. Supaya produk takaful yang diambil menepati matlamat dan keperluan diri.
 
Keputusan terletak di tangan anda. Pilih dengan bijaksana.
 
 
Yang menulis,
 
Mohd Faiz bin Abdul Manan
Ejen Etiqa Family Takaful


Tiada ulasan:

Catat Ulasan